header-photo

Sejarah Penubuhan PSSCMUiTM Malaysia

Seni Silat Cekak Malaysia mula bertapak di UiTM Shah Alam sejak tahun 1974. Pada ketika itu, persatuan ini bergerak di bawah nama Kelab Seni Silat Cekak Malaysia di atas daya usaha dan inisiatif Allahyarham Jamaludin Abdul Rahman serta sokongan padu dari badan induk iaitu PSSCM. Kelab Seni Silat Cekak Malaysia ITM (nama institusi pada ketika itu) yang ditubuhkan ini bermula dengan Allahyarham Ustaz Haji Hanafi Haji Ahmad sendiri mengajar ahli-ahlinya.

Berkat ketabahan dan keikhlasan pemimpin serta ahli-ahlinya, Seni Silat Cekak telah mampu bergerak maju dan cergas serta mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat kampus. Kelab Seni Silat Cekak ITM seterusnya telah ditukarkan nama kepada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia ITM (PSSCM ITM) pada tahun 1979. sebagai megiktiraf kepentingan kegiatan Seni Silat Cekak kepada masyarakat kampus. Bagi menyesuaikan sistem persilatan dengan sistem akademik, maka pada tahun 1980, Hal Ehwal Pelajar (HEP) ITM telah memberikan taraf ko-kurikulum kepada PSSCM ITM.

Serentak dengan itu juga, suatu sejarah baru telah dicatatkan, iaitu secara rasminya penglibatan semula ahli-ahli wanita dalam PSSCM di semua cawangan seluruh nagara. Kelas pertama wanita tersebut bertempat di ITM di mana seramai 16 orang telah diijazahkan oleh Almarhum Ustaz Hj. Hanafi Hj. Ahmad memandangkan mereka telah memilih silat ini sebagai mata pelajaran ko-kurikulum.

Namum, dalam perkembangan PSSCM ITM telah terjadi beberapa krisis dalaman di peringkat pusat pada tahun 1993. Apabila berlakunya perpecahan dalaman organisasi PSSCM Pusat yang akhirnya mempengaruhi ahli-ahli PSSCM ITM. Kebanyakkan ahli-ahli PSSCM ITM tidak mendapat penerangan terperinci kerana pihak tertuduh dalam krisis tersebut tidak langsung diberi peluang untuk membuat penjelasan kepada pelajar-pelajar ITM.

Namun begitu, berkat kesungguhan ahli-ahli PSSCM ITM seperti Sdr. Januar Affendy (KA10) dan Sdr. Amir Fadzli (AS14) serta peranan En. Hadzli Hashim (Setiausaha Agung PSSCM ketika itu dan sekarang Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik), akhirnya Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar & Hal Ehwal Akademik), Prof. Dr. Wan Mohammad Wan Abd. Kadir telah membenarkan PSSCM ITM bergerak aktif kembali pada Februari 1996 dan meneruskan aktiviti seperti biasa. Sejak itu, pengambilan ahli baru telah dibuat semula dan bilangan ahli PSSCM ITM telah meningkat dengan pesatnya. Kelas latihan telah berjalan seperti biasa dan ketika itu ianya di bawah penyeliaan En. Hashim Md. Noor (bekas ahli PSSCM ITM).

Pada awal 1997, HEP telah melantik En. Hadzli Hashim sebagai penasihat PSSCM ITM. Beliau merupakan bekas ahli PSSCM ITM (1980 - 1982) yang ketika ini memegang jawatan ahli Lembaga Pelajaran & Tatatertib (LPT) PSSCM. Beliau juga adalah jurulatih kepada ahli-ahli yang bergiat aktif mempelajari Seni Silat Cekak Malaysia di ITM. Beliau menyandang jawatan tersebut sehingga tahun 2001.

Pada awal 1998, LPT telah melantik En. Mohd Fizol Mohd Saad (Jurutera dan bekas ahli PSSCM Universiti Teknologi Malaysia) sebagai penyelia kelas PSSCM ITM yang baru kerana En. Hashim telah berpindah ke Johor Bahru. Beliau mengendalikan hal-hal persilatan dengan dibantu oleh seramai 11 jurulatih lelaki dan 1 jurulatih wanita.

Pada 17 Mei 2000, Yang DiPertuan Agong Malaysia telah memperkenan untuk meluluskan Akta UiTM (Pindaan 2000). Dengan itu, nama ITM dengan secara rasminya ditukar kepada UiTM. Bersesuaian dengan pertukaran tersebut, nama persatuan ini juga ditukar kepada PSSCM UiTM.