header-photo

Sejarah Penubuhan PSSCM UiTM

Sejarah Seni Silat Cekak di UiTM Kampus Induk Shah Alam, Selangor bermula sejak tahun 1974 di mana ianya bergerak di bawah Kelab Seni Silat Cekak atas daya usaha dan inisiatif Allahyarham Jamaluddin Abd. Rahman serta sokongan dan persetujuan badan induk yakni Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM). Namun, ianya bergerak secara rasmi pada tahun 1975. Kelas pertama Kelab Seni Silat Cekak ITM (nama institut pada ketika itu) yang baru ditubuhkan ini bermula dengan Almarhum Ustaz Hj. Hanafi Hj. Ahmad (ketika itu sebagai Presiden/Guru Utama PSSCM) sendiri yang mengajar ahli-ahlinya.

Berkat ketabahan dan keikhlasan pemimpin serta ahli-ahlinya, Seni Silat Cekak telah mampu bergerak maju dan cergas serta mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat kampus. Kelab Seni Silat Cekak ITM seterusnya telah ditukarkan nama kepada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia ITM (PSSCM ITM) pada tahun 1979. Sebagai mengiktiraf kepentingan kegiatan Seni Silat Cekak kepada masyarakat kampus dan bagi menyesuaikan sistem persilatan itu sendiri dengan sistem akademik, maka pihak HEP ITM pada tahun 1980 telah memberikan taraf ko-kurikulum kepada PSSCM ITM.Serentak dengan itu juga suatu sejarah baru telah tercatit, iaitu secara rasminya penglibatan semula ahli-ahli wanita dalam PSSCM di semua cawangan seluruh Negara. Kelas pertama wanita tersebut bertempat di ITM di mana seramai 16 orang telah diijazahkan oleh Almarhum Ustaz Hj. Hanafi Hj. Ahmad memandangkan mereka telah memilih silat ini sebagai matapelajaran ko-kurikulum.

Pada awal 1997, HEP telah melantik En. Hadzli Hashim sebagai penasihat PSSCM ITM. Beliau merupakan bekas ahli PSSCM ITM (1980-1982). Beliau juga adalah Jurulatih kepada ahli-ahli yang bergiat aktif mempelajari Seni Silat Cekak Malaysia di ITM. Sebelum itu, jawatan penasihat PSSCM ITM telah dipegang oleh En. Abdul Rahim Mokhtar.

Pada 1998, En. Mohd Fizol Mohd Saad telah dilantik sebagai Penyelia  PSSCM ITM kerana mengantikan En. Hashim Mohd Nor yang telah berpindah ke Johor Bahru. Beliau mengendalikan hal-hal persilatan dengan dibantu seramai 11 Pembantu Jurulatih lelaki dan 1 Pembantu Jurulatih perempuan.

Pada Ogos 1999, nama ITM telah dengan rasminya di tukar kepada UiTM. Bersesuaian dengan pertukaran tersebut, nama persatuan ini juga ditukar kepada PSSCM UiTM. Setelah berada dikampus ini selama 34 tahun, PSSCMUiTM masih meneruskan lagi kegiatan persilatannya dengan penuh kesabaran dalam mendidik ahli-ahlinya melalui persilatan supaya berjiwa bersih daripada sifat-sifat negatif contohnya seperti hasad dengki, khianat, sombong dan bongkak di samping mencapai kecemerlangan akademik.

Pada awal tahun 2001, pihak HEP telah melantik En. Adnan Omar, Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat sebagai Penasihat PSSCM UiTM yang baru. Perlantikan beliau dibuat dengan secara rasminya bagi menggantikan Prof. Madya Hadzli Hashim yang ketika itu menyambung pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah.

Bermula pada bulan Ogos 2009 pula, En. Anuar Mohd Ismail, Pen. Bendahari Unit Kewangan Zon 5 telah menggantikan En. Adnan Omar yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah, (HEP & Alumni) UiTM Kampus Puncak Alam. Manakala pada masa yang sama En. Nordin Abdullah (Ahli Lembaga Pelajaran & Tatatertib PSSCM) telah menggantikan tempat En. Mohd Fizol Mohd Saad sebagai Penyelia Kelas PSSCM UiTM Kampus Induk yang baru. Ketika ini beliau dipertanggungjawab untuk mengendalikan 3 kelas latihan sambil dibantu seramai 8 orang Pembantu Jurulatih lelaki dan 6 orang Pembantu Jurulatih perempuan.